Posts tagged ::DaKwAh FaRdHiAh::

Dakwah Fardhiah- Marhalah ke-4

 

Marhalah keempat ialah menjelaskan pengertian ibadah yang syumul tanpa membataskannya kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Tetapi ia merangkumi seluruh aspek kehidupan; makan, minum, pakaian, ilmu, amal, perkahwinan, riadhah, memelihara anak-anak dan lain-lain. Itu semua adalah ibadah kepada Allah s.w.t apabila mencukupi dua syarat: Niat kerana Allah s.w.t dan cara melaksanakannya sesuai dengan syariat Islam.

 

 

Syarat Pertama: Niat. Semua yang dilakukan hendaklah bertujuan untuk membantu kita melaksanakan ketaatan kepada Allah dan merealisasikan tujuan Allah menjadikan kita sebagai khalifah di atas muka bumi. Oleh itu, kita makan dan minum adalah supaya kita bertenaga untuk mentaati Allah dan beribadat kepada-Nya. Dengan itu makan dan minum kita menjadi ibadat yang akan diberi ganjaran pahala. Kita belajar untuk kepentingan kaum muslimin dan negara Islam, maka menuntut ilmu menjadi ibadat dan setiap tenaga dan masa yang kita curahkan akan diberi ganjaran pahala. Kita bekerja di mana-mana bidang untuk kepentingan umat Islam dan negara Islam, dan mendapatkan rezeki yang halal untuk keperluan hidup, maka kerja kita menjadi ibadah. Kita berkahwin untuk menjaga diri daripada maksiat dan membina rumah tangga muslim yang menjadi tiang seri kepada pembinaan negara Islam serta melahirkan zuriat yang salih yang dibentuk berdasarkan prinsip-prinsip Islam; melalui mereka, Allah akan memuliakan agamanya, maka perkahwinan kita menjadi ibadat, penat lelah mendidik anak-anak menjadi ibadat; semuanya akan mendapat balasan pahala daripada Allah. Kita bersenam untuk menguatkan tubuh badan supaya kita mampu memikul bebanan dakwah dan berjihad di jalan-Nya, maka bersenam menjadi ibadat.

Begitulah seterusnya, dunia yang luas ini menjadi mihrab (tempat beribadat); padanya kita mengabdikan diri kepada Allah dengan setiap amal dan usaha yang dilakukan. Semuanya menjadi ibadat hasil daripada niat yang benar semata-mata kerana Allah s.w.t.

 

 

Syarat Kedua: Segala usaha dan amal yang kita kerjakan mestilah sesuai dengan syariat Allah s.w.t dan ajaran Islam. Oleh itu, kita tidak boleh makan dan minum kecuali yang halal. Kita tidak berpakaian kecuali dengan pakaian yang halal. Kita tidak melakukan sebarang amal dan usaha kecuali ia selari dan sesuai dengan syariat Allah s.w.t supaya ia menjadi ibadat yang diterima oleh Allah s.w.t. Ini kerana, tidak munasabah kita makan makanan yang haram dengan tujuan menguatkan diri bagi melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Begitulah seterusnya, setiap muslim di marhalah ini mengikat seluruh kegiatan hidupnya dengan syariat Allah dan menjadikannya sebagai ibadat. Mereka tidak beribadah dengan hanya melakukan empat perkara fardhu yang sememangnya diketahui umum.

Leave a comment »

DAKWAH FARDHIAH- Marhalah ketiga

Bismillahirrahmanirraheem.. 

Di waktu itu, bermulalah marhalah ketiga di dalam dakwah. Di marhalah ini kita membantunya memperbaiki dirinya dengan caramengajarnya perkara-perkara ketaatan kepada Allah dan ibadat-ibadat fardhu, membiasakan dirinya melakukannya secara berdisplin, menjauhi

maksiat dan berakhlak dengan akhlak Islam. Amatlah baik sekiranya dia dibekalkan dengan buku-buku yang membincangkan persoalan aqidah, ibadat dan akhlak yang boleh dibaca dan difahaminya. Begitu juga dengan mengajak dia menghadiri majlis-majlis ilmu dan ceramah-ceramah, mengajaknya berkenalan dengan orang-orang salih dan menjauhkannya daripada orang-orang jahat. Begitulah seterusnya, suasana yang salih terus dibina untuk membantu menyempurnakan keperibadian Islamnya. Kita mestilah sabar dan sentiasa mengikuti perkembangan dirinya sehingga dia benar-benar teguh berada di atas jalan ini (Islam).

Dia tidak sepatutnya dibiarkan dalam jangka masa yang lama tanpa diikuti perkembangan dirinya dan tanpa bimbingan. Ini dilakukan agar dia mampu meneruskan perjalanan di jalan Islam dan menjauhi faktor yangmenyebabkannya mundur, malas dan cuai. Usaha-usaha ini akan memakan masa beberapa minggu atau beberapa bulan sehingga keperibadian Islamnya benar-benar mantap tanpa mudah digoyang.

Di sini kita mengatakan; Di sana terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan di marhalah ini. Walau bagaimanapun, ia boleh dilakukan di marhalah yang keempat yang akan datang. Itu pun setelah berhasilnya marhalah pertama iaitu mengadakan hubungan baik dengannya yangmembolehkan perbincangan terus dilakukan dan kewajiban dakwah dapat dilaksanakan.

Leave a comment »

DAKWAH FARDHIAH- Marhalah Pertama dan Kedua..

Marhalah Pertama
Marhalah pertama ialah mewujudkan hubungan dan perkenalan dengan mad’u (taaruf). Di marhalah ini, anda hendaklah benar-benar merasakan kepada dirinya bahawa anda mengambil berat tentang dirinya dan bertanya khabar apabila dia tidak ada dan lain-lain. Ketika itu anda tidak membincangkan apa-apa tajuk mengenai dakwah sehingga hatinya benar-benar terbuka dan bersedia untuk memahami apa yang anda perkatakan mengenai dakwah dan mengambil pengajaran daripadanya. Penerimaannya terhadap dakwah yang anda kemukakan adalah berkadar dengan kejayaan anda memberikan perhatian dan memenangi hatinya di marhalah ini. Sebarang percubaan untuk berbincang mengenai apa-apa tajuk dakwah sebelum malalui marhalah ini mungkin akan menjadi faktor penolakannya. Marhalah ini mungkin memakan masa beberapa minggu.
Marhalah Kedua
Marhalah kedua ialah marhalah membangunkan iman yang lesu di jiwa mad’u. Di peringkat ini perbincangan mengenai persoalan keimanan tidak perlu dilakukan secara langsung. Adalah lebih baik jika perbincangn mengenainya mengambil pendekatan secara tidak langsung seolah-olah tanpa disengajakan, dengan cara mengambil kesempatan daripada melihat burung, tumbuhan, serangga atau mana-mana makhluk Allah. Di kesempatan tersebut, perbincangan mengenai kekuasaan kekuasaan Allah, kehalusan dan keagungan ciptaan-Nya dilakukan. Sebagai contohnya, dijelaskan kepada mad’u bagaimana tumbuhan tersebut tumbuh daripada tanah dan air yang sama. Ia melahirkan bahagian-bahagian yang berlainan seperti dahan, daun, bunga, buah, warna, bau dan rasa sedangkan ia disiram dengan air yang sama dan ditanam di tanah yang sama.
“Begitulah perbuatan Allah s.w.t yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu”.
(Maksud an-Naml: 88)
Apakah ahli sains dengan teknologi canggih yang diciptanya mampu mencipta sebiji gandum (sebagai contoh) di makmal mereka; apbila ditanam dan disiram, akan menumbuhkan batang gandum? Sesungguhnya mereka tidak akan mampu melakukannya. Ini kerana menumbuhkan benih ciptaan Allah adalah rahsia Allah yang hanya diketahui-Nya. Manusia tidak mampu untuk menumbuhkan benih ciptaannya. Begitu juga sekiranya seluruh penduduk dunia bersatu untuk mencipta seekor lalat, mereka tidak akan mampu melakukannya. Ini kerana mencipta dan menghidupkan adalah hak kepunyaan Allah semata-mata. Begitulah seterusnya. Melalui perbicangan seumpama ini, dilakukan banyak kali dan memikirkan keunikan ciptaan Allah, Insya Allah akan  menjadikannya mengkagumi, mengagungi dan menyucikan Allah bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:
“Dan mereka memikirkan tentang perciptaan langit dan bumi seraya berkata: “Ya Tuhan kami! Tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka”. (Ali Imran: 191)
Ayat ini menegaskan bahawa memikirkan penciptaan Allah menjadikan seseorang mengkagumi dan mengagungi Allah serta mendorong kepada mengingati hari akhirat, mengingati pembalasan yang akan diterima di sana, dan mendorong seseorang mukmin untuk memohon kepada Allah supaya menyelamatkannya daripada azab neraka. Begitulah, dengan membangkitkan keimanan kepada Allah, keimanan kepada Keesaan-Nya, keimanan kepada sifat kudrat dan kesempurnaan-Nya, hati akan mula hidup dengan mengenali Allah (Makrifatullah), sedar daripada kealpaannya dan bersedia untuk menyempurnakan keimanannya kepada hari akhirat dengan segala yang ada padanya; kebangkitan dari kubur, hisab dan balasan. Begitu juga, dia akan memahami tujuan kita diciptakan oleh Allah iaitu untuk beribadah kepada-Nya semata-mata. Dia tidak dapat menggambarkan bagaimana Allah menciptakan kita dengan siasia; tanpa tujuan.
Boleh jadi berguna kalau kita menjelaskan kepadanya (mad’u) persoalan kemuliaan yang Allah berikan kepada anak cucu Nabi Adam a.s; kemuliaan hasil daripada pemberian roh kepada mereka. Kebanyakan manusia alpa dan lupa terhadap kehidupan di aspek ini, dan mereka hanya hidup di aspek penciptaan mereka daripada tanah dan memenuhi tuntutan badan. Mereka lupa dan alpa bahawa aqidah yang benar dan sejahtera adalah tuntutan asasi kepada roh; padanya terdapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Begitulah seterusnya, perbincangan berlegar di sekitar persoalan keimanan. Ketika persoalan ini hidup di jiwanya, dia akan mula menilai semula kehidupannya sebelum ini (muraja’ah). Dia akan merasakan bahawa sekiranya dia terus berada di tahap lama; alpa, mencuaikan kewajipan, melakukan maksiat dan tidak mentaati Allah, dirinya akan terdedah kepada azab Allah di hari akhirat; hari yang tiada tempat lari dan penyelamat. Ketika itu, dia akan mudah dipimpin dan diberi tunjuk ajar supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Ade lg smbungannye…

Leave a comment »

DAKWAH FARDHIAH- uslub dan marhalah

USLUB DAN MARHALAH

Kita hendaklah memahami realiti muslimin yang menjadi medan dakwah kita (di sini kita hanya membincangkan mengenai urusan mendakwah kaum muslimin supaya kembali kepada Allah). Ini kerana tuntutan sekarang ialah memindahkan mereka dari realiti hidup yang menguasai mereka pada hari ini. Mereka hidup dengan kefahaman yang silap, malas beramal untuk Islam, bersikap keterlaluan dan lain-lain. Kita hendaklah memindahkan mereka kepada suasana kehidupan yang baru; kehidupan yang memahami Islam dengan kefahaman yang lengkap sempurna sebagaimana yang dibawa oleh Rasulallah s.a.w.. Kita juga perlu memindahkan mereka kepada memahami tuntutan Islam yang sempurna dan memahami cara merealisasikannya menurut kaedah yang paling sempurna dan betul.
Melalui penelitian dan kajian terhadap masyarakat kita, kita akan mendapati bahawa kelemahan iman atau kelumpuhan iman di jiwa, tidak memahami hakikat Islam dengan sebenarnya dan serangan pemikiran adalah faktor utama yang menyebabkan kaum muslimin berada dalam suasana yang ada pada hari ini. Ia juga merupakan faktor utama yang membolehkan musuh-musuh Allah menjadikan sebahagian kaum muslim sebagai kuda tunggangan mereka untuk memerangi Islam; secara mereka sedari atau tidak. Janganlah diharapkan kesedaran, tindakan, amal atau hasil yang baik untuk Islam daripada mereka ini, melainkan setelah iman dibangkitkan dari dalam jiwa mereka terlebih dahulu. Dengan itu iman akan mendorong mereka kepada mengenal Allah dan memahami Islam, beramal dan berjuang untuk Islam serta mempertingkatkan diri kepada martabat para ‘amilin yang salih.
Mungkin berfaedah kalau kita peringatkan di sini bahawa beriltizam dengan tertib dalam menaiki tanggi menuju martabat para ‘amilin adalah suatu yang pasti dan maha penting. Ini kerana tanpanya boleh mengakibatkan kemunduran, kejatuhan lau mengambil sikap berdiam diri dan duduk berpangku tangan. Kita akan mulakan dakwah dengan menyeru seorang yang lalai. Kemudian beransur-ansur mempertingkatkannya dari satu marhalah ke satu marhalah. Kita sebutkan berdakwah kepada golongan ini di sini adalah sebagai menjelaskan bagaimana memulakan dakwah dengan golongan ini. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, terdapat individu yang baik dan lebih mudah menerima dakwah. Orang yang seperti inilah yang patut diberikan keutamaan demi menjimatkan waktu dan usaha. Kebanyakan muslim pada hari ini sibuk dengan urusan dunia dan lalai daripada beribadat kepada Allah s.w.t dan mentaati perintah-Nya. Mereka seperti sekumpulan manusia yang sedang nyenyak tidur. Di sebelah mereka terdapat api yang marak menyala dan akan membakar mereka sekiranya mereka masih lagi tidur. Di kalangan manusia yang sedang nyenyak tidur, terdapat mereka yang tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling, tetapi tidak mampu memadamkan api yang sedang membakar. Ketika itu kewajipan mereka ialah segera membangunkan manusia yang nyenyak tidur supaya setiap mereka menyedari keadaan masing-masing dan menjauhkan diri daripada api. Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka yang tidur dari bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka terjaga dari tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana mereka sedang nyenyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu barulah diberikan peringatan.
Dalam banyak kes, ketika usaha membangunkan orang yang sedang nyenyak tidur dilakukan, mereka tidak mahu bangun kerana sedang enak tidur dan tidak mahu diganggu. Ini kerana dia masih tidur dan belum lagi sedar. Jika dia benar-benar sedar dari tidurnya dan melihat api yang sedang membakar, nescaya dia bersegera menyelamatkan diri. Kata-katanya bahawa dia telah sedar tidak boleh dipercayai sepenuhnya kecuali apabila diikuti dengan tindakan menjauhkan diri dari api itu. Demikianlah sikap daie terhadap mad’unya (orang yang diseru). Dia mesti bersabar di dalam usahanya menyeru mereka kepada Islam. Dia mesti sanggup menghadapi tindak balas mad’unya seperti perbuatan jahat dan cercaan. Dia mesti mengharapkan balasan usahanya daripada Allah dan mengikuti jejak langkah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Baginda menyeru menusia dan terdedah kepada gangguan dan cercaan. Baginda tetap bersabar dan terus meneruskan dakwah sambil berdoa yang bermaksud:
“Wahai Tuhanku! Berilah hidayah kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengerti”.
Di dalam pengertian ini al-Iman asy-Syahid Hassan al-Banna berkata:

“Jadilah kamu ketika menyeru manusia seperti pokok buah-buahan; mereka membalingnya dengan batu dan dia menggugurkan buah kepada mereka”..
bersambung lagi..

Leave a comment »

DAKWAH FARDHIAH- Mukadimah

Bismillahirramanirraheem..  
Menyeru manusia kepada Allah s.w.t (ad-da’wah ila Allah) adalah kewajipan setiap muslim dan muslimat di setiap masa. Terutamanya di zaman kita ini, ia lebih wajib kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah s.w.t yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam. Menyeru manusia kepada Allah s.w.t adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendukung dakwah. Firman Allah yang bermaksud:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata:  ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.” (Fushilat: 33)

Menyeru manusia kepada Allah s.w.t menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar dan tidak ternilai sebagaimana pengakuan Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Jika Allah s.w.t memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari.” (Riwayat at-Tabrani)

Menyeru manusia kepada Allah s.w.t dan kepada jalan yang benar, adalah sebaik-baik urusan dan amat perlu diketengahkan, terutama di zaman ini yang berkecamuk dengan pelbagai kefahaman dan ideology, trend semasa yang memperbodoh, menyesat dan menyelewengkan. Menyeru manusia kepada Allah s.w.t adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’arif (memperkenalkan), yang mendahului marhalah takwin (pembentukan). Di sana terdapat dakwah ‘Ammah (dakwah umum) yang dicernakan melalui pidato, ceramahceramah, majlis-majlis ilmu, media masa seperti buku-buku, risalah-risalah, suratkhabar, majalah, kaset dan lain-lain. Di sana juga terdapat dakwah Fardiah (dakwah individu) yang tidak kurang pentingnya. Perbincangan mengenai dakwah fardiah ini akan kita perkatakan secara mendalam di sini:
Pertama: Mengenai methodologi dan peringkat-peringkat dakwah fardiah.
Kedua: Mengenai keistimewaan dakwah fardiah dan ciri-ciri para daie yang melaksanakan tugas ini.
Bersambung…

Leave a comment »